Pages

Showing posts with label Chocolatae Lover. Show all posts
Showing posts with label Chocolatae Lover. Show all posts

Friday, March 1, 2013

Chocolatae Lover 5



BAB 5
Bunyi kicauan burung di pagi minggu mengejutkan Alisya dari tidurnya. Jam di meja katilnya menunjukkan pukul 5:15 pagi. Dia terus bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan seterusnya mengerjakan solat subuh. Dia menyelak langsir biru laut yang menghiasi kamar tidurnya setelah selessai mengemas biliknya untuk membenarkan cahaya mentari menjenguk masuk ke biliknya. Kesegaran udara di pagi hari itu benar-benar membuatkan jiwanya menjadi tenang. Segala masalah di tempat kerja telah dapat dilupakan olehnya.
Ketika dia turun ke dapur, dia melihat Mak Miah sedang menyiapkan sarapan. Alisya kagum melihat kecekapan Mak Miah memasak walaupun umurnya telah mencecah 40-an.

“Assalamu’alaikum Mak Miah. Sedapnya bau. Mak Miah masak apa tu?” Alisya menyapa dengan sopannya.

“Wa’alaikumussalam.. Mak Miah tengah tumis lada nak buat sambal udang kesukaan Alisya la ni. Nanti bolehlah Alisya makan dengan nasi lemak,” jawab Mak Miah sambil tangannya lincah membersih udang.

Walaupun Mak Miah tidak membenarkan Alisya menolong, Alisya tetap menolong Mak Miah dengan alasan dia hendak belajar memasak. Dengan alasan yang sebegitu, Mak Miah tidak dapat menghalangnya lagi. Mak Miah menbiarkan sahaja majikannya menolongnya jikalau itu akan menggembirakan hati majikannya. Sesudah selesai menyiapkan sarapan tersebut, mereka terus menghidang dan menikmati sarapan tersebut sambil berbual panjang. Alisya suka sangat bercerita dengan Mak Miah kerana Mak Miah selalu memberikannya nasihat yang amat berguna sekali terutamanya dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka berjalan beriringan menuju ke ruang tamu apabila mereka apabila telah selesai menikmati sarapan.

“Mak Miah, tengah hari nanti Isya nak keluar dengan kawan Isya sekejap. Mak Miah nak pesan apa-apa tak?” tanya Isya sambil memicit-micit bahu Mak Miah yang sedang duduk di sebelahnya.

“Mak Miah rasa semua barang keperluan makanan masih mencukupi lagi untuk bulan ni. Hah, kawan Isya tu lelaki ke perempuan?” tanya Mak Miah kepada Alisya yang juga merupakan anak kepada seorang ahli perniagaan yang terkenal di negeri tersebut.

“Ala, Mak Miah ni. Macam la Mak Miah tak kenal Isya lagi. Lelaki-lelaki ni, tak main la. Isya keluar dengan kawan perempuan la. Nanti Isya kenalkan dia dengan Mak Miah ye,” balas Isya sambil mencuit pipi Mak Miah.

“Betul ke ni Isya? Boleh percaya ke ni?” giat Mak Miah sambil tersenyum meleret.

“Mak Miah ni, walaupun Isya tak tinggal dengan keluarga Isya, Isya tetap tak lupakan segala hukum-hakam Islam. Mak Miah tak payah risau sangat ye. Lagipun, Mak Miah kan dah tahu yang Isya ni tak suka dekat kaum adam tu. Menyusahkan dan hipokrit,” balas Alisya dengan suara yang sedikit ditekankan sebagai tanda dia masih berpegang kepada salah satu prinsip hidupnya.

Mak Miah hanya menggelengkan kepalanya pabila mendengar kata-kata Alisya. “Kamu ni Isya, Mak Miah pun hairan. Kenapalah kamu benci sangat dekat orang lelaki ni. Walau apapun, Mak Miah tetap doakan agar suatu hari nanti hati Isya akan terbuka juga untuk menerima lelaki dalam hidup Isya.”

Mendengar sahaja kata-kata Mak Miah itu, Alisya ketawa besar. “Hahaha. Mustahil la Mak Miah. Sejak dulu lagi, ramai lelaki yang Isya jumpa lebih mementingkan harta, pangkat dan paras rupa. Tak pernah Isya jumpa lelaki yang ikhlas terima kita seadanya. Boleh dikatakan dalam seribu tu, nak cari seorang pun belum tentu jumpa. Apapun, Isya bersyukur sangat dengan kehidupan Isya sekarang. Bebas sebebasnya kerana tak dikongkong oleh sesiapa pun. Hahaha.”

“Kamu ni Isya, banyak jer jawabnya. Sepatutnya Isya minta jer jadi lawyer, tak payah jadi doktor. Ish...Ish...Ish... layan kamu ni, nanti tak habis kerja Mak Miah. Mak Miah nak pergi basuh kain kejap. Kamu pergi tengok Yamada dan Yamato tu, diorang tak sarapan lagi tu,” kata Mak Miah kepada Alisya sebelum menghilang diri di sebalik dinding di ruang tamu itu.

Sebaik sahaja mendengar nama tersebut, Alisya terus melompat bangun dan berlari keluar. Dia mencapai makanan yang diletakkan di atas rak untuk diberikan kepada haiwan peliharaannya. Yamada dan Yamato adalah sejenis ikan tilapia yang dipelihara di dalam kolam yang terletak di hadapan rumahnya. Alisya menaburkan sedikit makanan tersebut ke dalam kolam sebelum mencabut rumput-rumput yang tumbuh meliar di dalam pasu bunganya.

“Alhamdulillah, siap juga akhirnya. Cantik gak taman ni, secantik tuannya. Hahaha,” Alisya tertawa sedikit.


Alisya berbaring di atas bangku simen yang diukiri dengan motif bunga-bungaan. Tembok besar yang tinggi mengelilingi bango tersebut menghalang orang luar daripada dapat melihat orang yang berada di dalam kawasan tersebut. Struktur bangunan tersebut membuatkan Alisya boleh keluar ke halaman depan tanpa diketahui dan dilihat oleh orang luar. Suasana pagi yang redup disertakan pula dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa membuatkan mata Alisya kembali layu. Sekawan burung terbang di awanan mencari rezeki di bumi Allah ini. Suasana tersebut telah mengulit Alisya supaya kembali ke alam mimpi. Pandangannya semakin kabur dan akhirnya dia terlelap juga.

***************************************************************

Mak Miah menghela nafas yang panjang setelah sepagi dia mengemas rumah tersebut yang juga merupakan tempat tinggalnya sejak 10 tahun yang lalu. Fikirannya kembali mengimbau ketika saat pertama kali dia berjumpa dengan majikannya, Alisya. Pada ketika itu, dia sedang bekerja di tempat kerjanya. Alisya terjumpa dengannya ketika dia sedang mengemop lantai di ruang legar syarikat tersebut. Mungkin kerana tidak bersarapan lagi, kepalanya terasa berat dan dia melihat seperti semua benda di sekelilingnya mengelilinginya dengan lajunya. Mak Miah tidak dapat mengimbangi badannya lalu jatuh ke belakang. Belum sempat dia terjatuh, tiba-tiba sepasang tangan menahan dan memegangnya dari belakang. Satu suara bertanya kepadanya dari arah belakang.

“Mak cik tak apa-apa ke? Kalau mak cik penat, mak cik rehat la dulu. Nanti dah sihat semula, barulah mak cik sambung balik ye,” kata gadis yang menyelamatkannya sebentar tadi sambil memimpinnya duduk di sebuah bangku yang telah disediakan di situ.

“Tak mengapalah, sekejap lagi ok la ni. Terima kasih bebanyak sebab tolong mak cik. Kalau  tak, mesti mak cik dah jatuh tadi,” balas Mak Miah dengan nada yang perlahan. Pening di kepalanya semakin berkurangan.

Gadis itu mengajak dan memimpin Mak Miah ke sebuah bilik dan mempelawanya berbaring dan berehat di atas sofa yang ada disitu. Pada mulanya Mak Miah enggan berehat di situ kerana belum menghabiskan kerjanya tetapi oleh kerana dipujuk berulang kali oleh gadis tersebut akhirnya Mak Miah akur juga dengan pujukan gadis itu.

“Mak cik rehat dulu kat sini ye. Kejap lagi bila mak cik dah sihat sikit nanti, mak cik boleh balik rumah. Saya bagi mak cik cuti hari ni,” gadis itu berkata kepadanya sebelum melangkah keluar dari bilik tersebut. Mak Miah hanya menghantar gadis itu dengan pandangan matanya yang sayu. Betapa mulianya hati gadis itu.

Dua minggu selepas kejadian tesebut, mungkin kerana takdir Allah dan berkat doanya, dia bertemu sekali lagi dengan gadis itu ketika gadis itu sedang menunggu di kaunter pertanyaan. Mak Miah terus menyapa gadis itu dengan harapan gadis itu masih mengingati dirinya.

Assalamu’alalaikum, Cik,” sapa Mak Miah dengan perlahan kerana takut tersilap orang.

Wa’alaikumussalam wbt.. Eh, makcik! Makcik dah sihat?,” tanya Alisya sambil bersalaman dengan Mak Miah.

Gadis itu mempelawanya duduk di sebelahnya. Mak Miah berterima kasih kepada gadis itu kerana telah menyelamatkannya ketika dia hampir pitam.

“Ala, pertolongan kecil saja tu. Saya membantu sesama manusia lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam kesusahan,” balas gadis itu dengan lembut.

Gadis itu terus menyambung ayatnya. “Erm... mak cik jangan panggil saya dengan gelaran ‘cik’ tu. Nama saya Alisya Soraya, tp mak cik panggil saya Alisya jer”.

“Mak cik berterima kasih bebanyak dekat Ali... Ali... Ali... aduh... apa nama cik tadi? Maaflah, mak cik ni susah sikit nak sebut nama tu, berbelit lidah mak cik ni ha,” balas Mak Miah sambil tersenyum sedikit.

“Mak cik ni ade ke patut Mak cik panggil saya Ali.. Huhu...,” balas Alisya dengan nada sedih yang dibuat-buat kerana mahu menagih simpati Mak cik dihadapannya.

“Alaa, Alisya ni, mak cik bergurau  je la. Hahaha. Tak kan Alisya merajuk dengan mak cik kot.

Mak Miah berasa amat bersyukur kerana gadis itu masih lagi mengingati dirinya. Mak Miah memperkenalkan dirinya kepada Alisya. Mak Miah berbual panjang bersama Alisya. Dia menganggap Alisya seolah-olah seperti anaknya. Dia berasa amat gembira ketika berbual-bual dengan gadis itu. Mereka saling bertukar cerita. Sesekali kawasan tersebut dipecah oleh gelak tawa Alisya yang menghidupkan suasana sepi di pagi hari. Seorang lelaki berjalan dengan langkah yang mantap ke arah mereka.

“Anak papa buat apa kat sini?” tanya lelaki tersebut yang juga merupakan presiden syarikat tersebut.

“Isya datang nak jenguk papa la ni. Tak boleh ke?”

Ish.. Siapa kata tak boleh. Syarikat ni kan akan jadi syarikat Isya juga.”

Alisya hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak bersetuju dengan penyataan ayahnya itu. Alisya mahu meneruskan kariernya sebagai doktor. Itulah cita-citanya sejak kecil lagi.

“Papa, kenalkan nie mak cik yang Isya cakap hari tu. Nama dia Mak Miah.”

“Owh.. Papa dah ingat. Mak cik yang Alisya ceritakan dekat papa hari tu.”

“Assalamu’alaikum Datuk. Maafkan saya Datuk sebab hari tu saya dah menyusahkan anak Datuk,” ujar Mak Miah perlahan memohon maaf.

Ish.. Mana ada menyusahkan.. Benda kecil jer semua ni,” balas majikannya itu dengan senyuman yang terukir diwajahnya.

*****************************************************************

“KRINGG... KRINGG... KRINGG!”

Lamunan Mak Miah terputus dek bunyi deringan telefon yang nyaring membingitkan pendengarannya. Dia lantas bangun dan menjawab panggilan tersebut.

“Hello.. Yee.. Betul.. Ini rumah dia.. APA?????

Tuesday, February 8, 2011

Chocolatae Lover 4



BAB 4


Doktor Alisya berjalan ke arah wad kelas pertama tersebut dengan hati yang gembira kerana pesakit tersebut telah dibenarkan pulang ke rumahnya. “Alhamdulillah, balik juga pak cik tua tu,” getus hati Alisya. Alisya mengetuk pintu tersebut dan melangkah masuk. Dia berjalan menuju ke arah pesakit tersebut seraya berkata kepada pesakit tersebut dengan nada yang tegas.

Assalamu’alaikum Encik. Encik dah boleh pulang hari ini. Pastikan Encik makan ubat mengikut kadar yang telah ditetapkan dan kurangkan makanan yang boleh membahayakan kesihatan Encik."

“Terima kasih doktor. Saya mungkin akan rindu dekat doktor nanti sebab tak de orang lain yang saya boleh kacau melainkan doktor jer... hahaha.. Doktor tak sedih ke nak berpisah dengan saya yang handsome nie?”

Alisya menjawab dengan tenang, “Saya rasa saya tak akan sedih, sebab ramai lagi pesakit yang perlu saya rawati. So, tak sempat la nak terasa rindu tu,” balas Alisya dengan muka selamba.

Alisya tersenyum kemenangan apabila dia melihat air muka pesakitnya itu berubah. Dia amat seronok sekali apabila dapat membalas balik kata-kata pesakitnya itu yang selama ini sering menyakiti hatinya. Dengan ketiadaan pesakitnya itu, dia akan dapat meneruskan kehidupannya tanpa perlu bersabar lagi dengan segala kerenah pesakitnya itu. Kerenah pesakitnya itu amat menyakitkan hatinya kerana dia seolah-olah seperti anak patung yang sering kali dipermainkankan dan diperolokkan dengan sewenang-wenangnya.

“Doktor, sebelum saya balik, saya ada sedikit hadiah untuk doktor sebab sabar dengan kerenah saya dan sanggup merawat saya walaupun saya berkasar dengan doktor. Saya minta maaf sebab selalu buat doktor marah. Saya janji tak buat lagi. Tapi pada masa akan datang, belum tentu lagi la doktor. Hahaha. Nah, ambik la. Ikhlas dari saya, Fariz alias budak kacak. Hehehe…”

Belum sempat Alisya membalas kata-kata tersebut, tiba-tiba pintu dikuak dari luar. Semua ahli keluarga Fariz telah sampai untuk menyambutnya. Mereka kelihatan elegan dengan pakaian berjenama yang mahal. Memang tidak dinafikan lagi pesakitnya itu datang dari golongan yang berada. Alisya sememangnya tidak berasa selesa dengan golongan yang berada kerana dia masih ingat lagi ketika dia dimaki hamun oleh seorang datin kerana bersahabat dengan anaknya yang dikatakan berlainan darjat. Ketika Alisya di universtinya dia mengenalkan dirinya sebagai seorang anak pegawai kerajaan sahaja. Hanya sahabatnya, Syafi sahajalah yang mengetahui bahawa dia sebenarnya seorang anak ahli korporat yang telah mendapat pangkat ‘Datuk’. Tiba-tiba muncul seorang gadis lalu meluru ke arah Fariz dan memeluknya.

“Hi Fariz, akak tengok kamu makin cerah la sekarang ni. Iz nampak handsome la,” sapa Raja Farisya lembut sambil mengusap kepala adiknya, Fariz.

“Mana tak cerahnya akak, Iz asyik berkurung dalam bilik ni jer. Tapi memang Iz ni handsome, tak dapat nak dinafikan lagi kan. Haha,” Fariz ketawa senang.

Alisya tidak mahu menganggu kegembiraan mereka lantas memohon diri untuk ke biliknya. Dia bersalaman dengan keluarga pesakitnya itu sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana menggunakan perkhidmatan doktor di hospital tersebut. Ketika Alisya bersalaman dengan mereka, tiba-tiba dia dipeluk oleh seorang perempuan yang kelihatan anggun. Perempuan itu memegang kedua belah tangan Alisya lantas berkata kepada Alisya.

“Terima kasih banyak doktor kerana sanggup merawat dan melayan anak saya ni. Mak cik tahu, anak mak cik mesti sudah banyak menyusahkan doktor selama ini. Mak cik minta maaf bagi pihak dia ye.”

“Tidak mengapa Puan, itukan sudah menjadi tugas saya sebagai seorang doktor dan saya harus memikul amanah yang telah diberikan kepada saya,” balas Doktor Alisya dengan senyuman yang terukir indah di bibirnya.

“Senang-senang nanti datang la rumah mak cik. Mak cik teringin hendak bercerita dengan doktor. Ini alamat rumah mak cik,” kata Raja Sarah sambil menghulurkan sekeping kertas yang tertera alamat rumahnya kepada Alisya.

“Terima kasih Puan. Insya-Allah kalau ada kelapangan saya akan ke rumah Puan,” balas Doktor Alisya sesopan yang boleh.

Tiba-tiba kedengaran satu suara menyampuk perbualan mereka berdua. Mereka berdua lantas berpaling ke arah suara tersebut.

“Kalau ‘Insya-Allah’ tu, maksudnya 99% dia akan datang rumah kita, mama. Wah, tak sabarnya nak tunggu kedatangan doktor ke rumah kami,” kata Fariz sambil mengenyit matanya ke arah Doktor Alisya.

Alisya hanya berdiam diri dan buat tidak tahu sahaja seolah-olah dia tidak mendengar apa yang dikatakan oleh pesakitnya itu. Kalau hendak diikutkan hatinya, mahu sahaja dia membalas balik kata-kata tersebut, tetapi dia tidak mempunyai kekuatan untuk membalasnya di hadapan ahli keluarga pesakitnya itu. Dia terpaksa membatalkan hasrat murninya itu. Dia hanya tersenyum kepada mereka sambil mengangguk lantas terus mengorak langkah keluar dari bilik tersebut untuk ke biliknya.

************************************************************************************************************


Sebaik sahaja kelibat Doktor Alisya hilang di sebalik pintu wad tersebut, tiba-tiba kakak Fariz, Raja Farisya mengusiknya.

“Aish… sakit-sakit pun sempat lagi nak tackle doktor kat sini ye. Hahaha.”


“Haha. Mana ada la. Iz bukan nak tackle dia pun. Iz boring, tak tahu hendak buat apa, so Iz mengusik la dia. Lagipun Iz dah serik nak bercinta lagi,” balas Iz dengan nada yang dibuat-buat gembira.


“Tapi, apa salahnya, Iz pun dah lama hidup bujang sejak putus hubungan dengan ‘minah karat’ tu,” kata Farisya sambil memasukkan baju adiknya ke dalam beg pakaian.


“Hah! Kakak panggil dia apa tadi? Minah karat? Dia ada berapa karat? Macam berlian la pulak.. Hahaha..,” Fariz terus menghamburkan gelak tawanya sebaik sahaja mendengar kata-kata kakaknya itu.


“Hish! Kamu ni, ke situ pulak. Kamu tak tahu ke, sebab apa akak panggil dia ‘minah karat’? Iz… Iz… kekasih sendiri pun kamu boleh tak tahu. Kamu tak perasan ke, dia warnakan rambut dia tu, dah macam warna besi yang dah berkarat. Hahaha. Tu pasal akak panggil dia ‘minah karat’,” balas Farisya selamba.


Fariz terus ketawa terbahak-bahak. Ibu bapa mereka hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala melihatkan kerenah anak-anak mereka yang berperangai kebudak-budakkan. Jauh disudut hati, mereka gembira melihat anak-anak mereka bahagia dan berbaik-baik dan bermesra sesama adik-beradik. Keharmonian dalam sesebuah rumah tangga adalah impian bagi setiap pasangan suami isteri. Begitu juga bagi Raja Azman dan isterinya Raja Sarah.


“Ha… sudah la tu, Isya, Iz. Cepat kemas barang tu. Kita dah nak balik rumah ni. Tu pun kalau kamu nak balik la. Tapi, kalau kamu tak nak balik, nanti mama boleh bagi tau dekat doktor suruh kamu duduk dekat wad ni lagi sebulan. Kamu nak ke?” tanya Raja Sarah kepada anaknya Fariz.


“Waaa… Iz tak nak. Ok.. ok.. Iz dah nak habis kemas la ni. Boring betul tinggal kat hospital ni lama-lama. Cukup bulan, Iz boleh dapat penyakit baru tau, kalau tinggal kat sini lama-lama,” balas anaknya sambil mengangkat beg pakaiannya.


Mereka terus berjalan meninggalkan bilik tersebut. Bapa Fariz, Raja Azman berjalan menuju ke ‘parking lot’ untuk mengambil keretanya. Walaupun dia seorang ahli perniaggan yang terkenal, dia lebih suka memandu keretanya sendiri daripada mengupah pemandu peribadi.


**********
Sebaik sahaja tiba di rumah, Fariz terus berlari menuju ke hujung halaman rumahnya untuk melihat satu-satunya kawannya iaitu Yuya. Setiap kali dia balik dari kerja dia akan berjumpa dengan Yuya dan bersembang dengannya. Setiap hujung minggu, dia akan membersihkan tempat tinggal Yuya. Dia sering bercerita dengan Yuya tentang apa yang berlaku sepanjang hari, tetapi sayangnya Yuya tidak dapat membalas segala kata-katanya. Hanya renungan mata Yuya sahaja yang membalas kata-kata Fariz.

“Yuya, apa khabar? Comelnye Yuya sekarang ni. Rindunya dekat Yuya. Iz minta maaf sebab tak jenguk Yuya. Iz kena tahan dekat wad sebab Iz terlibat dalam kemalangan. Iz nak buat ‘miss call’ dekat Yuya, tapi takut Yuya tak boleh nak jawab pulak. Iz nak hantar ‘message’ pun tak boleh sebab Yuya tak belajar ABC lagi. Nanti Yuya tak boleh nak baca pulak. Apapun, lain kali kita cerita lagi ye, Yuya. Iz nak masuk rumah, nak mandi dulu. Bye.. bye.. Yuya,” Fariz berkata kepada Yuya sambil tersenyum manis kepadanya.


Faris melambai-lambai kearah Yuya, sebelum melangkah masuk ke rumahnya. Sebelum kakinya sempat melangkah satu anak tangga, tiba-tiba dia ditegur dari belakang. Dia terus mengusap dadanya sambil melepaskan satu hembusan nafas yang panjang. Dia terus berpaling ke belakang. Kelihatan kakaknya, Farisya melambai-lambai kearahnya dari ruang tamu.


“Kamu ni Iz, dengan Yuya pun kamu menjadi ye. Yuya tu ikan jer la. Haha. Nanti lepas kamu mandi, kamu turun tau. Jangan buat lupa plak,” kata Farisya kepada Fariz.


“Kawan dengan Yuya best tau. Dia tak pernah sakitkan hati Iz. Dia sanggup dengar cerita Iz setiap hari. Dia tak pernah pun tunjukkan muka bosan dia. Tu pasal Iz sayang sangat dekat Yuya. Haha. Ala.. akak ni, dengan Yuya pun akak boleh cemburu. Nanti Iz ajak kakak sembang dengan dia ye. Dia pun teringin nak jumpa dan sembang dengan akak. Hahaha,” balas Fariz sambil tergelak besar kerana dapat mengenakan kakaknya.


Fariz terus naik ke biliknya untuk mandi. Suasana di biliknya kelihatan amat menyenangkan kerana warna biru laut dan biru langit dijadikan tema warna biliknya. Ketenangan di biliknya menyebabkan dia lebih suka menghabiskan masanya di dalam biliknya. Ketenangan itulah yang telah menimbulkan ilham dan mencurahkan banyak idea yang bernas kepadanya ketika dia berada dalam kebuntuan. Segala tekanan perasaan yang dihadapinya juga dapat dikurangkan.


Selepas selesai mandi dia terus berbaring di atas katilnya. Badannya terasa sangat segar. Kelopak matanya tertutup dengan perlahan. Akhirnya, dia tertidur juga walaupun pada awalnya dia tidak mahu tidur. Mungkin kerana dia dapat menikmati keempukkan katilnya menyebabkan dia tertidur. Memang tidak dinafikan lagi, katil yang disediakan di hospital itu tidak seempuk katilnya yang bersaiz King ni.


Tiba-tiba pintu dibuka dari luar. Kelihatan satu wajah yang muncul di sebalik pintu tersebut.


“Laa… dia tidur plak dah.. mungkin Iz letih kut. Hmm… takpe la, kau tidur jer la,” kata Farisya perlahan sambil menyelimutkan adiknya.


Suasana bilik yang berhawa dingin itu dibiarkan sepi. Fariz kelihatan tidur dengan nyenyaknya. Wajahnya kelihatan comel ketika sedang tidur. Kelihatan seperti seorang bayi yang sedang tidur. Memiliki wajah yang comel itulah yang menyebabkan dia sering menjadi tarikan orang awam ketika dia keluar membeli belah atau pergi makan angin.

Chocolatae Lover 3




BAB 3


Alisya berjalan menuju ke biliknya sebaik sahaja dia tiba di hospital itu. Dia meneliti kesemua dokumen pesakit-pesakitnya dengan teliti sebelum memulakan tugasan hariannya. Sama ada mereka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan atau tidak memberangsangkan. Jam di tangannya menunjukkan jam 9:45 pagi. Dia belum sempat lagi bersarapan kerana terbangun lambat. Selepas solat subuh, dia terlelap sebentar sebelum terjaga semula. Mungkin kerana dia telah menyalurkan seluruh tenaganya untuk memberi rawatan kepada pesakitnya. Selepas memastikan mejanya berada dalam bersih dan semua fail tersusun rapi barulah, dia menapak keluar menuju ke kantin untuk mencari makanan buat alas perut.



Sepanjang perjalanan ke kantin, Alisya melihat pelbagai gelagat pesakit-pesakit dan penjaga mereka yang memenuhi ruang legar di hospital tersebut. Air muka yang terpancar pada wajah mereka tidak semestinya menunjukkan keadaan emosi mereka sebenar. Walaupun mereka ditimpa musibah, mereka tetap mempamerkan wajah yang ceria demi tidak merungsingkan ahli keluarga mereka. Mereka tidak mahu ahli keluarga mereka turut sama bersedih atas apa yang terjadi. 

Alisya melajukan langkahnya ke kantin apabila dia teringat bahawa dia perlu melihat tahap kesihatan pesakit-pesakitnya setiap pagi. Aroma nasi lemak menusuk hidungnya sebaik sahaja dia tiba di kantin. Kelihatan ramai juga doktor dan jururawat yang sedang menjamu selera. 'Mereka pun tak sempat breakfast macam aku juga ke,' desis hati kecil Alisya sebelum dia terus melangkah ke kaunter makanan untuk memilih makanan. Sedang dia memilih makanan, tiba-tiba dia dikejutkan dengan satu suara yang menegurnya dari belakang.


“Hai Alisya, baru nak breakfast ke? Lama saya tak nampak awak makan kat sini?”

“Oh, Doktor Irfan. Terkejut saya dibuatnya. Ha’ah, pagi tadi tak sempat nak breakfast, tu yang saya turun jugak makan kat sini,” jawab Alisya.

“Sebenarnya saya baru je nak sarapan, jom la makan sekali,” pelawa Doktor Irfan. Sebenarnya, Doktor Irfan sudah lama menaruh hati pada Alisya. Cuma, dia belum mempunyai keberanian untuk meluahkan isi hatinya pada Alisya.

“Eh, takpe la. Thanks, but no thanks. Sebenarnya, saya lebih suka makan sendiri. Selamat menjamu selera ye, Doktor Irfan." Alisya terus berlalu meninggalkan tempat tersebut. Sejak dia belajar di universiti lagi dia tidak selesa berbual dengan kaum Adam. Kalau boleh elak, dia akan elak. 

**********

Alisya terus berlalu dari situ dan menuju ke penjuru kantin yang berhadapan dengan taman bunga yang dipenuhi dengan bunga-bungaan yang beraneka warna dan haruman yang berbeza. Alisya menjamu selera sambil matanya menikmati keindahan ciptaan Illahi. Fikirannya melayang-layang memikirkan tentang impiannya untuk memiliki sebuah banglo besar yang dikelilingi oleh pokok-pokok bunga yang berbau harum serta beraneka warna. Di tepi rumah tersebut mestilah terdapat sebuah kolam renang khas untuk penghuni rumah tersebut. Mesti terasa tenang dan aman apabila berada di kawasan tersebut. Jauh dari segala pencemaran, sama ada pencemaran udara mahupun pencemaran bunyi. Lamunannya terputus apabila dia tiba-tiba terdengar seseorang memanggil namanya.

“Sape pulak dah ni?” getus Alisya perlahan sambil tunduk menguis nasi di pinggannya dengan sudu. Dia berasa geram kerana ada jer orang yang mengganggu konsentrasinya di pagi yang indah ini. Dia terus mendongak dan mencari tuan empunya suara itu. Kelihatan rakan sejawatannya, Doktor Syafi sedang melambai-lambai ke arahnya sambil berjalan menuju ke tempat duduk Alisya. Syafi merupakan rakan baiknya sejak di universiti lagi. Hubungan persahabatannya dengan Syafi semakin erat setelah mereka berjaya ditempatkan di hospital yang sama. Segala masalahnya yang dihadapi akan dicurahkan kepada Syafi dan begitu juga dengan sebaliknya.

Weh, Isya. Takkan pagi-pagi buta pun kau dah nak mengelamun. Kau nak dengar tak satu berita menarik tentang pesakit kau?” Syafi terus terus dihadapan Alisya

“Ha, cerita apenye Syaf. Kalau kau rasa best, kau cerita je kat aku, tapi kalau tak best, kau simpan jer la cerita tu untuk cucu-cicit kau nanti ye.” Alisya menyambung kembali suapannya yang tergendela sebentar tadi. Nasi di pinggannya dimakan habis. Rezeki tidak elok dibuang. Tidak berkat hidup nanti. 

“Ala, Isya ni, tak rock arr camtu... dengar la dulu, nanti kau komen la. Tapi, kalau kau tak nak dengar takpe la, aku ciao dulu la.. Bubyee." Syafi menarik muka empat belas kerana kawannya itu tidak mahu melayannya. Sebelum sempat Syafi meninggalkan tempat duduknya, Alisya terus menarik tangannya.

"Ala… Syaf nie, tak comel tau orang-orang tua merajuk ni. Nanti suami cari lain sape susah, Isya jugak tau. Ha, dah la. Meh duduk kat sebelah Isya nie," Alisya terus berdiri sebelum mengajaknya duduk.

Sebaik sahaja Syafi duduk, tiba-tiba bahu Syafi kelihatan terinjut-injut. Syafi masih tertunduk sambil menutupi mukanya. 'Hisy, takkan merajuk sikit pun dah menangis. Ah, sudah! Aku dah la tak reti nak pujuk orang ni'. Alisya mula panik. Serba tidak kena. 

Tiba-tiba terletus juga tawaan dari mulut Syafi yang sudah sekian lama dia tahan. Alisya terus bangun dan menampar bahu Syafi kerana mempermainkannya. Syafi masih belum berhenti mengetawakannya. Oleh kerana memikirkan banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan berbanding melayani kerenah kawannya itu, Alisya terus berjalan balik ke biliknya. Sisa tawa Syafi masih lagi mengekori langkah Alisya.

Isya, tunggulah aku. Takkan kau pulak nak merajuk kot." Syafi masih lagi mengekorinya dari belakang sambil memanggilnya. 'Boleh tahan sentap juga kawan aku ni.' Syafi cuba mengejar Alisya yang berjalan semakin laju kehadapan.

Alisya buat tidak endah sahaja dengan panggilan Syafi. Dia terus masuk ke biliknya dan meneruskan kerjanya yang terbengkalai itu. Beberapa minit telah berlalu. 'Hmm.. Mungkin Syafi dah ke bilik dia kot.' Alisya berbisik sendiri. Memujuk dirinya sendiri kali kerana tidak mengendahkan kawannya. Dia menyambung kembali menulis kertas penyelidikannya untuk diterbitkan dalam jurnal yang berindeks Scopus dan ISI. 

Selang tidak lama kemudian, pintu biliknya terbuka tiba-tiba. Kepala Syafi terjengul di balik pintu sambil tersenyum kepadanya. Alisya tidak mengendahkan akan kehadiran rakannya itu. Dia buat tidak layan jer. Jari-jemarinya laju sahaja mengetuk setiap huruf di papan kekunci komputernya. Syafi yang sudah masak dengan perangai Alisya itu terus sahaja duduk di hadapan Alisya dengan selamba.

“Isya, kau kenalkan pesakit kelas pertama tu?" tanya Syafi memulakan perbualan.

Alisya hanya mengangguk tanpa mengeluarkan sepatah kata. Dia malas hendak melayan kerenah rakannya yang sememangnya telah terbukti suka mengusiknya. Alisya mencatat sesuatu di atas kertas sebelum sambung menaip semula sambil memandang sekilas kepada rakannya itu. Syafi masih terus bercakap dengan Alisya walaupun Alisya tidak menjawab dan hanya mengangguk dan menggeleng.

"Aku tau, kau mesti susah kan nak deal dengan orang yang macam tu kan, Isya. Lagi-lagi dia tu salah satu dari stok-stok handsome ni."

'Handsome? Part mana la yang dia handsome tu. Handsome lagi V aku yang dari group BTS tu. Comel pulak tu. Hee.' balas Alisya dalam hatinya.


Selepas membiarkan Syafi bercakap seorang diri, akhirnya Alisya menyampuk juga. Kesian pula tengok kawannya itu yang tidak berhenti-henti bercakap semata-mata untuk memujuknya.


"Kira kau ni beruntung la dapat pesakit yang handsome tu. Kaya pulak tu," sambung Syafi lagi.

“Ha’ah, beruntung la sangat.. Kesabaran aku pun ada tahapnya juga, Syaf. Kalau hari-hari melayan perangai pak cik tua tu, silap hari bulan boleh mental juga aku nanti,” jawab Alisya penuh perasaan.

“Hahaha… sikit punya handsome, kau boleh panggil dia pak cik tua.. Kau nie, kalau dia dapat tau habis la kau… Tapi kan, aku rasa kau dengan pesakit kau tu ade keserasian la. Mungkin dia jodoh kau tak?"

“Choi! Mulut kau ni pun Syaf, takde insurans ea? Sejak bila pulak kau boleh jadi match maker nie.. Please la, perangai macam pak cik tu siapa la yang suka… Minta simpang la..”

“Weh, aku cakap berdasarkan fakta la beb. Kau nak tau tak pasal apa aku kata kau serasi dengan dia? Sebenarnya korang berdua sama-sama suka makan coklat. Banyak pulak tu stok coklat dia.”

“Kau biar betul, Syaf. Pak cik tu mana boleh makan coklat lagi sebab dia tu masih lagi sakit. Aku dah warning dah pun dia sebelum ni.”

Ya Allah, betul Isya. Aku pun tak boleh nak buat apa-apa. Pagi tadi nurse yang jaga kat bilik dia tu kasi tau aku yang pesakit kau tu pesan makanan yang pelik-pelik. Dia tak nak makan sarapan yang kita sediakan. Dia rela makan coklat pepagi buta semata-mata kerana tak nak makan roti dan minum susu tu."

Ish.. degil betul la pak cik tua tu. Tapi yang menghairankan aku la, macam mana dia boleh dapatkan coklat tu sedangkan saya dah bagitau kat ibu bapa dan pelawatnya supaya tidak membawakan makanan-makanan yang manis. Aku rasa dia mesti ada komplot dalaman dengan seseorang nih."

"Bagi aku la kan, pesakit kau tu jauh lebih baik la kalau nak dibandingkan dengan Doktor Irfan tu. Lagi pun pesakit kau tu handsome tau… Wah, kalau aku tak kahwin lagi dah lama aku tackle pesakit kau tu. Huhu.. Kenapalah aku kahwin awal sangat dowh."

"Hahaha.. Macam-macam la kau ni Syaf. Jangan nak mengarut sangat. Kau tu dah kahwin. Hehe. Layan kau, sampai petang pun tak habis tau. Kau ni, aku tengok macam kekurangan pekerjaan je. Nak tolong aku siapkan kertas research aku ni tak?" tanya Alisya. Cuba mematikan perbualan mengenai lelaki psycho itu. Malas la nak fikir tentang kehidupan orang lain.

Wah..wah.. wah, cara menghalau aku dengan sopan nampaknya,” balas Syafi sambil tertawa.

“Eh, mana ade, sebenarnya aku pun ade keje lagi ni. Pukul 2:15 petang nanti aku kena pergi bilik bedah pula. Sorry ye, Syaf. Hujung minggu nanti kita keluar pergi shopping ea.”

Okay set. Hujung minggu nie, aku takde apa-apa hal kot. Nanti kau jemput la aku kat rumah aku ye. Aku chao dulu.” Syafi terus bangun dan berjalan keluar dari bilik tersebut. Alisya meneruskan kerjanya yang terbengkalai tadi. Tiba-tiba pintu biliknya terbuka lagi dari luar. Kelihatan Syafi masuk semula sambil tersenyum lebar.

“Hee.. Sebenarnya aku nak kasi kau coklat nie tadi, tapi aku terlupa. Ralit sangat layan kau sembang tadi. Aku tau kau suka sangat coklat nie kan.”

“Banyak la kau. Kau jugak yang ajak aku sembang tadi. Hahaha.. Anyway, terima kasih banyak-banyak untuk coklat ni. Macam tahu-tahu jer stok coklat aku dah habis. Ni yang aku sayang sangat dekat kau, beb!”

“Kau nie Isya.. Asal dapat coklat jer bukan main manis lagi kau senyum.. Macam budak-budak pun ade." Sebelum Syafi sempat melangkah keluar, langkahnya terhenti. "Emm.. bagus jugak macam tu,” kata Syafi seraya tersenyum lebar. Seakan-akan ada sesuatu yang sedang berlegar-legar di fikirannya.

“Hah! Syaf, apa lagi yang kau fikir tu apa ha?”

"Hahaha.. Aku ada terfikir la tadi. Kalaulah pak cik tua kau tu yang bagi kau coklat kegemaran kau, mesti kau sayang kat dia kan.. hahaha.."

"Kau jangan nak cari pasal ye, Syaf. Aku meluat la dekat pak cik tua tu. Kau pun tahu kan aku macam mana. Bak kata orang, Life is too short to be in a relationship."

"Haa.. Iye la tu, Isya. Ade-ade je kan kau ni. Okay, aku chao dulu. See you this weekend.

In sha Allah. Nanti aku jemput kau.” 


Pabila kelibat bayang Syafi hilang dari pandangannya, Alisya terus menyimpan coklat tersebut di dalam balang yang terletak elok di dalam laci mejanya. Mengikut kebiasaannya, Alisya akan ke pasaraya ketika hujung minggu untuk membeli barang dapur termasuk coklat kegemarannya untuk dijadikan stok pengalas perut apabila ketiadaan makanan. Selalunya sekiranya Syafi tidak menemaninya, Alisya akan ke pasaraya bersendirian kerana dia lebih suka bersendirian. Dia lebih suka melihat gelagat orang ramai yang kadang-kala ada juga yang berjaya mencuit hatinya. 

Chocolatae Lover 2




BAB 2


Raja Fariz terjaga dari tidur selepas hampir 7 jam dia tidur. Dia terus bangun dan berjalan terus menuju ke bilik air untuk membersihkan badannya dan berwuduk. Selepas selesai solat, dia kembali ke katilnya dan berbaring semula sementara menunggu hari siang. Raja Fariz merupakan anak kedua daripada dua orang adik-beradik. Dia merupakan anak kepada seorang ahli perniagaan yang terkenal di ibu kota tersebut. Dia terpaksa ditahan di hospital kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja. Sudah hampir 2 minggu dia terpaksa hidup seperti banduan yang ditahan di dalam penjara putih itu. Kebosanan telah menyelubungi hidupnya semenjak dia ditahan di situ.



“Kenapalah diorang tak kasi aku keluar? Bukannya teruk sangat pun lukanya.”



“ Argh… Boringnya dok kat sini lama-lama, kalau dapat gi cuti-cuti Malaysia lagi bagus.”


“Doktor kat sini pun satu, cubalah buat baik dengan pesakit. Ni tak, serius jer memanjang.”

Raja Fariz membebel seorang diri tentang nasibnya yang terpaksa dihadapinya. Dia terus mencapai komik tentang penyiasatan di sebelahnya untuk menghilangkan kebosanan yang tahap dewa itu. Sambil membaca komik tersebut, dia menikmati kelazatan coklat kegemarannya sebagai sarapannya. Walaupun doktor telah melarangnya daripada mengambil makanan yang manis, dia tetap berdegil kerana dia tidak dapat berpisah dengan coklat yang digemarinya semenjak dia kecil lagi. Dia amat sukakan coklat ‘Snickers’ dan ‘Mars’. Setiap kali singgah di hypermarket, dia akan membeli sejumlah coklat sebagai bekalan di waktu ketiadaan makanan. Ditahan di hospital tidak menghalangnya daripada mendapat bekalan coklat kerana dia telah menyuruh kakaknya membawa coklat kepadanya tanpa pengetahuan doktor tersebut dan ibu bapa mereka. Kakaknya itu merupakan satu-satunya kakak yang dia sayangi di dunia ini. Kakaknya telah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang berjaya yang khabarnya mempunyai banyak anak syarikat di luar negara.

*********

Kedengaran pintu diketuk dan dibuka telah mengganggu konsentrasinya yang sedang membaca itu. Dengan malasnya dia berpaling ke arah pintu tersebut. Kelihatan seorang jururawat sedang tersenyum manis dan melangkah masuk. Dia menatang satu dulang yang tersusun elok makanan untuk sarapan paginya. Dia menjeling sekilas ke arah makanan tersebut dan mencebik.

Nurse, tak de makanan yang sedap sikit ke? Takkan saya nak makan roti dengan susu jer setiap pagi. Tak sedap langsung. Pertumbuhan badan saya boleh terbantut tau nurse.”

"Encik kenalah makan makanan yang macam ni supaya Encik cepat sembuh."

“Kalaulah saya dapat makan spageti ke, pasta ke, pizza ke, mesti sedap kan? Erm..Nurse, apa kata kalau nurse tolong belikan makanan kat kantin untuk saya. Nurse beli la mee goreng basah ke, kalau tak de pun nurse order je ayam KFC untuk saya.”

“Ish.. mana boleh macam tu Encik. Kalau Doktor Alisya dapat tahu nanti, habislah saya kena pecat.”

“Ala.. nurse ni tak sporting langsung la. Dengan doktor tu pun nak takut. Takpe la kalau macam tu, nurse letak jer makanan kat situ, nanti tahulah saya nak buat macam mana."

"Ok… nanti lepas habis makan roti nie, jangan lupa makan ubat nie sekali ye," jururawat tersebut menunjukkan kepadanya ubat yang turut berada di dalam dulang tersebut.

Raja Fariz hanya mengangguk tanpa menjawab sepatah pun kerana merajuk dengan sikap nurse tersebut yang tidak boleh bertolak-ansur. Jururawat tersebut terus keluar dari bilik tersebut selepas membuka tingkap dan mengemas sedikit kawasan tersebut. Raja Fariz menyambung kembali santapannya iaitu coklatnya. Makanan yang dibawa oleh nurse tersebut diletakkan di dalam satu bekas manakala susu tersebut dituangkan ke dalam sinki. Sejak kecil lagi dia memang alah dengan minuman yang berasaskan tenusu. Makanan tersebut akan diberikan kepada orang yang lebih memerlukan.

“Takpe.. takpe, nanti aku pesan pizza dekat Pizza Hut tu baru diorang tau,” desis hati kecilnya.

“Minta tolong sikit pun tak boleh. Huh… Ingat bagus sangat ke makan roti ni, banyak yeast tau,” dia menyambung kembali omelannya kerana tidak puas hati. Dia terus berbaring sambil melihat ke arah siling di dalam biliknya itu.

**********

Fikirannya melayang-layang mengingati kisah-kisah lampau yang cuba dia lupakan. Kerana peristiwa pahit tersebutlah telah menyebabkan dia memandang serong kepada kaum wanita dan tidak menaruh minat terhadap wanita. Sudah menjadi prinsip hidupnya, sekali dia ditipu, dia tidak akan mempercayai kata-kata daripada seseorang yang telah menipunya. Memang tidak dinafikan bahawa dia mempunyai ramai peminat. Ini disebabkan dia memiliki wajah yang tampan sehingga ada yang mengatakan bahawa mukanya seiras dengan muka putera raja Britian iaitu Putera William. Raja Fariz dikurniakan wajah yang putih merah, hidung yang mancung, ketinggiannya menyamai ketinggian seorang model dan yang paling beruntung sekali dia mempunyai lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Dia tidak berbangga dengan apa yang dimilikinya kerana baginya cinta yang suci adalah cinta yang lahir dari hati yang murni tetapi bukanlah cinta dari paras rupa atau harta yang melimpah ruah. Dia berpisah dengan kekasihnya kerana kekasihnya itu merupakan sejenis perempuan yang suka mengikis duitnya. Setiap minggu bekas kekasihnya merengek mahukan hadiah yang mahal-mahal dan barangan tersebut perlulah dibeli dari luar negara. Sebelum mereka berpisah, dia sering menegur sikap bekas kekasihnya yang selalu boros itu dan seringkali ia membawa kepada pergaduhan kerana bekas kekasihnya itu akan melenting apabila ada orang yang menegur kelakuannya. Dia masih ingat kali terakhir dia berjumpa dengan bekas kekasihnya iaitu kira-kira 3 tahun yang lalu.

“Apahal kau nak jumpa aku,” tanya Raja Fariz kepada kekasihnya.

Raja Fariz sudah meluat dengan segala alasan yang telah diberikan oleh kekasihnya itu. Walaupun kecurangan kekasihnya itu telah disaksikannya dengan mata kepalanya sendiri, kekasihnya itu masih menafikan bahawa perempuan tersebut adalah dia. Dia mengatakan mungkin pelanduk dua serupa. Sejak dari hari tersebut, Raja Fariz telah tawar hati pada kekasihnya. Segala panggilan dan mesej dari kekasihnya, tidak dilayan. Dia hanya menunggu saat untuk putus hubungan dengan perempuan itu.

“Aku nak bagitau dekat kau yang aku nak putus hubungan dengan kau. Aku dah tak nak ade apa-apa lagi hubungan dengan kau! Aku dah ade orang lain yang boleh bagi aku segala kemewahan, bukan macam kau kedekut haji bakhil,” jawab Marlissa dengan penuh lagak.

So, what? Ada aku kesah? Just go on! I don’t care anymore,” balas Raja Fariz pula.

“Oklah, aku pun dah malas nak mengadap muka kau yang tak ubah seperti binatang kat sarkas tu. Kalau tak kerana aku, mesti takde orang yang nak dekat kau. Kolot sangat. Jangan ganggu hidup aku lagi!” sempat lagi Marlissa memberi amaran keras kepada Raja Fariz.

“Hek'eleh.. Ingat aku nak kacau kau ke.. Tak hadap aku. Aku cuma nak doakan kebahagiaan korang agar berkekalan hingga ke akhir hayat je. Dan lagi satu, aku harap kau ubah la sikap kau yang boros tu. Nanti kekasih baru kau tu lari, jangan nak salahkan aku pulak. Hehehe..,” Raja Fariz membalas sambil tergelak kecil kerana dapat meluahkankan segala ketidakpuas hatiannya kepada kekasihnya.

“Argh.. sudah la, makin lama aku mengadap muka kau, makin stress aku. Blah la dengan sikap kau tu yang macam ustaz tu. Pegang tangan tak boleh, keluar malam tak boleh, itu tak boleh, ini tak boleh. Huh. Kolot betul. Aku harap kita tak jumpa lagi. Bye.”

“Terima kasih sebab doakan aku jadi baik. Hati-hati ye memandu kat jalan raya tu. Take care.. Assalamu’alaikum,” Raja Fariz melaung dengan kuatnya sekali apabila mendapati Marlissa berjalan dengan pantas menuju ke arah keretanya yang diletakkan di bawah pokok di seberang jalan tersebut.

Marlissa berpaling dan menunjukkan penumbuknya ke arah Raja Fariz. Raja Fariz hanya tersenyum tanda kemenangan meskipun hatinya dirundung pilu. Dia tidak akan sekali-kali menangis di hadapan kaum yang berlawanan jantina dengannya. Memang tidak dinafikan, Fariz terasa sedih sangat kerana berpisah dengan kekasihnya. Tetapi, dia memilih untuk tidak menunjukkan kesedihannya di hadapan kekasihnya kerana dia takut dianggap lelaki yang dayus kerana tidak dapat melepaskan perempuan yang disayangi pergi pada orang lain.

"Ah, lantak la dekat kau! Malas dah aku nak ambil peduli." Raja Fariz terus menapak meninggalkan tempat kejadian.

Sejak daripada hari itu, dia telah menutup rapat pintu hatinya pada mana-mana wanita yang masih cuba mendekati dirinya. Sehingga ada khabar angin yang mengatakan dia suka pada jantina yang sejenis dengan dengannya. Dalam kata yang lain, dia adalah seorang 'gay'.

"What! Nonsense!" Raja Fariz malas untuk menidakkannya dan membiarkan mereka percaya dengan berita palsu tersebut.

**********

Lamunan Raja Fariz tiba-tiba terhenti apabila terdengar bunyi pintu ditolak dari luar.

“Woi, Iz!” sergah seorang lelaki sebaik sahaja terjenguk mukanya di balik pintu.

“Kau pun Man. Nak masuk tu, at least bagi la salam dulu,” tegur Fariz kepada satu satunya kawan rapatnya sejak kecil lagi, Arman.

Mereka belajar di universiti yang sama dan bekerja di tempat yang sama. Memang susah nak pisahkan mereka ini. Tetapi Arman telah dua tahun berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata.

“Baik la ustaz. Assalamu’alaikum wahai sahabatku. Apa khabar sahabatku sekarang?” Arman bertanya Fariz sambil tersenyum sedikit.

“Wa’alaikumussalam. Woit Man, geli pulak aku dengar! Sudah sudah la kau.”

“Itu lah kau. Dengan kawan baik kau sendiri pun kau nak sorok. Nasib baik la kelmarin aku ada terjumpa dengan Datuk. Dia yang bagitau aku kau accident.”

“Alaa. Accident sikit je pun. Bukan teruk pun. Sehari dua nanti keluar la aku dari hospital ni. Lagipun kau kan ada meeting dengan supplier kita dekat Jepun. Takkan aku nak bagitau kau. Kang tak pasal-pasal kau fly sini, hilang terus kepercayaan supplier tu pada syarikat kita.” Raja Fariz cuba memberi penjelasan kepada Arman yang seakan-akan ada juga kedengaran seperti alasan untuk mengelat.

“Iye la tu. Okay la, kali ini aku maafkan kau. Tapi lain kali kau accident, kau kena bagitau aku,” balas Arman sambil menarik kerusi dan duduk dihadapan Fariz.

“Nauzubillahiminzalik. Minta jauh la. Kau ni macam doakan aku untuk accident kali kedua je? Kau jangan, Man. Masin mulut kau nanti tak pasal-pasal terlantar lagi aku kat hospital ni,” sambung Fariz sambil membetulkan duduknya.

“Opss. Sorry, terlepas. Hahaha. Mana ada la. Aku doakan kau baik-baik je la. Kau kan kawan aku dunia akhirat,” sangkal Arman semula.

Hampir setengah jam Fariz bersembang dengan Arman. Dia akhirnya membuka mulut juga menceritakan bagaimana kemalangan tersebut terjadi selepas dia berjaya didesak oleh kawannya itu. Mereka saling bertukar cerita. Arman kemudiannya pula melaporkan kepada Fariz tentang keputusan yang telah diputuskan dalam meeting dia di Jepun. Selang tidak berapa lama dari itu, Arman pun meminta izin untuk pulang ketika azan Zohor kedengaran berkumandangan dari masjid yang berdekatan.


Selepas kawannya keluar dari bilik tersebut, Raja Fariz terus berlalu ke bilik air untuk mengambil wuduk. Ingatan dari ibunya tentang pentingnya solat di awal waktu masih terpahat di dalam jiwanya dan dipegang sehingga sekarang. Ibunya menasihatinya bahawa sekiranya kita solat di awal waktu, doa kita akan dimakbulkan Allah. Sesungguhnya Allah amat suka pada hambaNya yang sentiasa ingat padaNya dan mendahulukanNya berbanding urusan dunia yang lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...